Artikel 1
Tajuk Artikel :Isu Kesediaan Guru dalam Amalan Melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
Penulis :Abdul Khalil, Fakhri and Awang, Mohd Isha (2016)
Ulasan :
Pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) masa kini dilihat dari perspektif yang lebih luas. Demi menjamin kualiti pendidikan yang menjurus kepada pembangunan modal insan ‘minda kelas pertama’, sistem peperiksaan sekarang telah diperkukuh dengan memperluaskan konsepnya kepada pentaksiran. PBS merupakan satu bentuk amalan pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor secara terancang oleh guru dan pihak sekolah. Pentaksiran ini perlu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan. Sehubungan itu, amalan pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru diharap dapat memberikan maklumat yang tepat dan menunjukkan keadaan sebenar tentang tahap pembelajaran murid. Artikel ini merupakan kertas konsep yang membincangkan isuisu berkaitan kesediaan guru dalam amalan melaksanakan PBS. Artikel ini turut mengetengahkan isu kesediaan guru serta kesannya ke atas amalan PBS. Perkara yang dibincangkan adalah selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam gelombang yang pertama (2013-2025) iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia akan menumpukan peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru dan kepimpinan sekolah. Kajian ini juga turut mengemukakan beberapa cadangan bagi penambahbaikan kualiti dalam pelaksanaan PBS.
Artikel 2
Tajuk Artikel : Amalan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (Pbs) Dalam Kalangan Guru Matematik Sekolah Menengah.
Penulis : Mazlini Adnan, Noorfazelawati Abd. Kadir
Ulasan :
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan salah satu transformasi dalam sistem pendidikan di Malaysia. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan mengenal pasti amalan PBS dalam kalangan guru Matematik sekolah menengah. Seramai 103 orang guru matematik dari 13 buah sekolah menengah di daerah Raub, Pahang, telah dipilih sebagai sampel dalam kajian ini. Kajian ini dijalankan dalam bentuk tinjauan dengan menggunakan soal selidik sebagai instrumen kajian. Hasil dapatan dianalisis menggunakan analisis deskriptif dan analisis inferensi bagi menjawab persoalan kajian. Hasil analisis menunjukkan skor min keseluruhan amalan PBS adalah tinggi. Namun, perbezaan amalan PBS dengan pengalaman mengajar adalah tidak signifikan. Dapatan kajian ini boleh dimanfaatkan oleh pihak yang terbabit dalam memartabatkan lagi amalan PBS dalamkonteks pengajaran dan pembelajaran matematik.
Artikel 3
Tajuk Artikel : Kajian Keperluan Pembinaan Modul Pentaksiran Berasaskan Sekolah Bagi Tajuk Dinamik Dalam Mata Pelajaran Sains Tingkatan 2.
Penulis : Norlly Mohd Isa*, Hamimah Abu Naim
Ulasan :
Penambahbaikan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 Disember 2010. Penekanan akan diberikan kepada pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning). Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan wajaran 100 peratus dalam PMR telah dimulakan pada tahun 2012 bagi murid-murid Tingkatan 1 secara berterusan sehingga 2014 apabila murid-murid ini berada di Tingkatan 3. PBS adalah pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah yang berkenaan. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji keperluan pembinaan Modul Pentaksiran Berasaskan Sekolah (MoPBeS) bagi tajuk Dinamik dalam mata pelajaran Sains Tingkatan 2. MoPBeS merupakan satu modul pentaksiran yang berfokus kepada pentaksiran berasaskan tugasan, pentaksiran dalam pembelajaran dan pentaksiran untuk pembelajaran. Kajian ini dijalankan secara 3 Fasa. Fasa pertama adalah analisis dokumen yang dijalankan terhadap kajian-kajian lepas berkaitan keberkesanan pentaksiran dalam bilik darjah (classroom assessment). Fasa
kedua merupakan analisis terhadap tajuk Dinamik dalam mata pelajaran Sains tingkatan 2. Fasa ketiga merupakan kajian berbentuk soal selidik bertujuan untuk meninjau pandangan guru tentang keperluan MoPBeS untuk menambahbaik perlaksanaan PBS dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Hasil kajian keperluan ini adalah penting bagi memastikan pembinaan dan penilaian MoPBes yang akan dijalankan memberikan impak kepada pelaksanaan PBS.
No comments:
Post a Comment